JOHOR
BAHRU: Seorang wanita cedera parah ditetak suaminya selepas satu pertengkaran
di rumah mereka di Taman Suria, Kluang, hari ini, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohd Roze Shaari, berkata
kedua-dua pergelangan tangan dan kaki K Menaga, 44, hampir putus akibat ditetak
suaminya N Marimuthu, 47, di tempat letak kereta rumah mereka dalam kejadian
yang berlaku pada kira-kira 11 pagi.
Katanya, Marimuthu kemudiannya ditemui mati tergantung di
balkoni tingkat atas rumah, dipercayai membunuh diri.
"Hasil siasatan awal, kita percaya motif kejadian
adalah berpunca daripada perasaan cemburu suami yang mengesyaki mangsa yang
bekerja di Singapura mempunyai 'skandal'," katanya ketika dihubungi di
sini hari ini.
Mangsa
yang kritikal dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.
Mohd Roze berkata, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja
sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah hotel di Singapura, baru sampai di
rumah dari tempat kerjanya pada jam 10.30 pagi telah bergaduh dengan suaminya
di ruang tamu dan didengari anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun dan ibu Marimuthu
yang berada di dapur ketika itu.
"Mangsa kemudian telah mengajak mereka untuk keluar
membeli barang keperluan sekolah namun semasa mereka bergerak keluar, si suami
secara tiba-tiba datang dari belakang dan menetak lengan kirinya sambil
menyuruhnya agar jangan bekerja di Singapura lagi.
"Wanita itu yang ketakutan melarikan diri, namun
terjatuh di tempat letak kereta rumah, di mana suaminya menetak kedua-dua
pergelangan tangan dan kakinya," katanya.
Mohd Roze berkata, Marimuthu kemudian naik ke bahagian
atas rumah dan mengunci pintu pagar balkoni.
Katanya, anak lelaki pasangan itu telah menghubungi bapa
saudaranya yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.
"Polis menemui sebilah pisau pemotong daging, sebilah
parang panjang dan satu tong racun berwarna putih di tempat kejadian. Kematian
Marimuthu diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.