Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Sekumpulan lelaki bersenjata
menembak seorang kelasi Vietnam dan merompak 16 kelasi sebuah kapal tangki di
perairan Pulau Aur, selatan Johor pada Ahad.
Lelaki
yang cedera ditembak di kepala itu kemudian diterbangkan ke hospital di
Singapura dan meninggal dunia di sana.
Serangan
lanun itu berlaku pada pukul 5.30 pagi semasa kapal yang membawa muatan asfalt
dalam pelayaran dari Singapura ke Vietnam.
Ketua
Pusat Laporan Kegiatan Melanun Biro Maritim Antarabangsa yang berpangkalan di
sini Noel Choong berkata pihak berkuasa Singapura menghantar helikopter dan
membawa kelasi yang cedera parah itu ke hospital.
Beliau
menasihatkan kapal-kapal supaya mengambil langkah-langkah tegas dan memantau
kegiatan melanun terutama pada sebelah malam dan melaporkan sebarang serangan
kepada pusat itu di Kuala Lumpur untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan
dan serantau bagi mendapatkan bantuan segera.