Gambar hiasan |
Georgetown: Tiga
pekerja pembersihan alat penghawa dingin terkejut selepas menemui tiga butir
bom tangan termasuk 76 butir peluru hidup dan tiga kelopak peluru yang
disorokkan dalam sebuah beg yang ditinggalkan di sebuah premis kosong di Jalan
Tun Dr Awang, Bukit Jambul, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner
Mior Faridalathrash Wahid, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam
apabila seorang lelaki berusia 65 tahun menemui beg hitam di belakang kompresor
alat pendingin hawa.
Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudian membuat
laporan di Balai Polis Sungai Nibong, di sini.
Katanya, premis terbabit sebelum ini digunakan
sebagai salon rambut di tingkat satu itu sudah dikosongkan sejak beberapa bulan
lalu.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati
bom dan peluru berkenaan masih lagi aktif dan ketika diperiksa premis berkenaan
kosong tiada penghuni.
"Siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk
mengenalpasti pemilik premis dan siasatan dilakukan mengikut Akta Senjata Api
1972," katanya.