Teluk Intan: Empat belas individu nyaris maut
apabila lori simen hilang kawalan lalu merempuh 10 kenderaan di atas Jambatan Sultan Yusuf di Kilometer 49, Jalan Sitiawan-Teluk
Intan, di sini, 5.30 petang semalam.
“Akibat rempuhan itu, seorang anak saya berusia
empat tahun tersepit dan parah,” kata Kamarudin Al Peyah, seorang daripada 14
mangsa yang cedera dalam kemalangan itu.
Kejadian dipercayai berpunca daripada lori simen
dari arah Sitiawan ke Teluk Intan dan dikatakan hilang kawalan hingga merempuh
beberapa kenderaan lain, kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh
beberapa kenderaan lagi.
Kenderaan lain yang dirempuh kemudian
berlanggar sesama sendiri sehingga menyebabkan kerosakan teruk dan kecederaan
kepada 14 individu membabitkan pemandu dan penumpang dengan empat daripadanya
parah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak,
Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan
kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 43 (1) (A)
Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.