KUALA LUMPUR: Seorang
sarjan polis dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi
di sini selepas didapati bersalah memperoleh rasuah daripada seorang pemilik
kilang pisau.
Hakim Kamardin Hashim juga memerintahkan penjara lima
bulan sekiranya tertuduh, Ahmad Sazali Md Desa, 55, gagal membayar denda itu.
Dalam keputusannya, Kamardin berkata mahkamah berpuas hati
rayuan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Aida Adhha Abu Bakar mempunyai
merit dalam kes itu.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Nik
Mohamed Ikhwan Nik Mahamud bagi penangguhan pelaksanaan hukuman dengan jaminan
RM10,000 bercagar sehingga rayuan selesai.
Tertuduh, Ahmad Sazali, didakwa pada 25 Okt 2011 di
Mahkamah Sesyen dan kemudian dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas
pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mahkamah Tinggi turut mengekalkan keputusan itu selepas
menolak rayuan pendakwaan.
Namun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan dan
memerintahkan tertuduh dipanggil membela diri. Tertuduh sekali lagi dibebaskan
oleh Mahkamah Sesyen yang sama, pada 30 Okt 2013 dan kemudian pihak pendakwaan
mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 7 Nov 2013.
Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa secara rasuah
memperoleh wang tunai RM2,000 daripada pemilik kilang itu sebagai dorongan
untuk tidak mengambil tindakan dan melepaskan dua pekerja yang ditahan mengikut
Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen.
Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu
Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat
Bahagian Siasatan Jenayah, Tingkat 3, Blok B, Balai Polis Pudu, Cheras pada 12
tengah hari, 30 Nov 2010.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a)
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum
menurut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20
tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih
tinggi.