Sabtu, 14 Februari 2015

KALAU TAKUT DG OMBAK, JGN BERUMAH DITEPI PANTAI



KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyangkal dakwaan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan Twitter untuk membanteras kumpulan yang terlibat dalam perkara berhubung hasutan dan provokasi.

Menurutnya, ia adalah dakwaan tidak berasas untuk menuduh pasukan keselamatan itu menggunakan medium itu sebagai lanjutan daripada senjata atau undang-undang lapuk dan zalim.


Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini bagi merujuk kepada beberapa kritikan yang ditujukan terhadap beliau mengenai pengendalian siasatan polis dalam perkara berkaitan dengan kiriman berbaur hasutan dan menimbulkan rasa takut menerusi Twitter.

Khalid berkata adalah mengejutkan bahawa pengkritik perlu menegur cara PDRM memaklumkan kepada orang ramai mengenai tindakan polis melalui Twitter, berkaitan dengan perkara yang menimbulkan kebimbangan awam.

"Ia tidak salah di sisi undang-undang. Bagaimanapun ia salah apabila beberapa pihak menggunakan platform itu untuk mempengaruhi atau menghasut pihak ketiga sehingga boleh menjejaskan kepentingan dan keselamatan negara,' katanya.

Oleh itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya mengambil langkah pengawalan dan waspada bagi mengelak tercetusnya sentimen perkauman dan keagamaan yang mungkin meranapkan negara berbilang kaum ini.

"Adalah benar bahawa komen hasutan dan menakutkan boleh menjejaskan keharmonian sosial dan mencetuskan kekacauan dalam kalangan rakyat," katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa walaupun kebebasan bersuara adalah hak politik untuk menyuarakan pendapat seseorang tetapi ia ada batasan universal yang dipatuhi oleh kerajaan di seluruh dunia termasuk ucapan berbaur kebencian dan fitnah.

Oleh itu PDRM akan terus melakukan apa yang betul dan terbaik untuk kepentingan negara tanpa rasa takut atau pilih kasih, katanya. - BERNAMA



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...