Isnin, 16 Februari 2015

Wanita Myanmar nyaris maut ditembak


KUALA LUMPUR: Seorang wanita Myanmar yang menjual kuih di kaki lima sebuah kedai di Pusat Bandar Utara Jalan Ipoh di sini, nyaris maut apabila diserang rakan senegara yang melepaskan dua das tembakan petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 27 tahun didatangi suspek bersenjatakan parang yang bertindak memecahkan barang perniagaannya. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa yang ketakutan melarikan diri namun suspek terus mengejar dengan menaiki kereta.


"Mangsa terus melarikan diri ke seberang jalan dan bersembunyi di sebalik sebatang tiang sebuah kedai kira-kira 30 meter dari tempatnya menjual kuih.

"Suspek yang mengejar kemudian keluar dari kereta dan melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa tetapi tersasar," katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Beliau berkata, sejurus melepaskan tembakan, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah Proton Perdana. Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Buat masa ini polis menyiasat motif kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh," katanya.

Difahamkan, suspek dan pengadu mengenali antara satu sama lain dan tinggal berhampiran di rumah kedai berhampiran tempat kejadian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...