Jumaat, 27 Februari 2015

Lelaki Indonesia tetak muka rakan hingga parah


Kapar: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca sekumpulan lima lelaki Indonesia menetak rakan senegara hingga parah berhampiran sebuah pawagam, di sini, 20 Februari lalu.

Difahamkan semua suspek mengenali mangsa yang ditetak di bahagian muka dan belakang kepala menggunakan parang hingga parah.

Harian Metro Ahad lalu melaporkan, lelaki warga Indonesia parah selepas ditetak sekumpulan lelaki di tengah orang ramai di hadapan panggung wayang menggunakan parang selepas bertengkar di pusat karaoke.


Susulan itu sembilan individu warga Indonesia berusia 24 hingga 45 tahun yang dipercayai terbabit dalam insiden berhampiran pasar raya di sini, ditahan polis di sebuah rumah kedai di Jalan Goh Hock Huat di sini, jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk mengesan kumpulan suspek berbahaya ini sebelum serbuan dilakukan.

“Hasilnya sembilan individu masing-masing enam lelaki dan tiga wanita dipercayai terbabit dalam kejadian itu diberkas.
“Pemeriksaan di premis itu juga menemui tiga parang dan satu pisau dipercayai digunakan ketika menyerang mangsa.

Kami juga mendapati tujuh daripada mereka tidak mempunyai pas perjalanan sah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini, semalam.

Menurutnya, suspek direman 14 hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap kejadian itu diteruskan untuk mengesan sekiranya masih terdapat suspek masih bebas.

Mangsa berusia 31 tahun itu masih menerima rawatan kerana kecederaan serius.

Mohamad Shukor menegaskan, kejadian berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kejadian bunuh kumpulan kongsi gelap di Banting baru-baru ini kerana ia tersebar di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.


“Kes ini menjadi viral dan menimbulkan ketakutan kepada orang ramai di sekitar Klang, malah mesej berkenaan turut tersebar dalam kalangan warganegara Malaysia yang berada di luar negara,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...