SHAH ALAM -
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan lebih 2,000 kekosongan jawatan kadet
inspektor kepada pegawai lepasan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis)
Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini.
Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tawaran tersebut bertujuan memberi
peluang kepada graduan Suksis menceburkan diri secara lebih lanjut dalam bidang
kepolisan sejurus tamat pengajian.
"Dengan
latihan selama tiga tahun di universiti, kami merasakan latihan tempoh asas
juga akan dipendekkan sekiranya mereka terpilih untuk sertai PDRM.
"Namun
mereka perlu lulus ujian integriti melalui 'Malaysian Integrity Test'.
"Ini
adalah bagi memastikan pegawai yang dipilih mempunyai tahap integriti yang
tinggi dan saya harap siswazah Kor Suksis yang memang berminat dalam bidang
kepolisan dapat menggarap peluang ini sebaiknya," katanya dalam ucapan
pelancaran pengambilan pegawai Kor Suksis ke jawatan kadet Inspektor di Dewan
Sri Budiman, Univerisiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.
Teks ucapannya
dibacakan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk
Acryl Sani Abdullah Sani.
Sehingga kini,
sebanyak 5,994 mahasiswa dari 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditauliah
sebagai pegawai Kor Suksis sejak penubuhannya pada 2005.
Sementara itu,
Acryl Sani berkata pihaknya telah menerima 1,300 permohonan pegawai lepasan Kor
Suksis untuk memenuhi kekosongan jawatan tersebut.
Beliau juga
berkata permohonan menjadi polis daripada kaum bukan Melayu semakin bertambah
setiap tahun. - Bernama