Jumaat, 20 Februari 2015

Peniaga trauma diserang 4 lelaki


BATU KARANGEmpat penjenayah memperkenalkan diri terlebih dahulu, sebelum menyamun pasangan suami isteri yang baharu sahaja membuka kedai runcit, jam 6.45 pagi semalam.

Mangsa, Kamarudin Abd Rashid, 39, berkata, dua penjenayah menunggang motosikal jeni Yamaha Lagenda manakala dua lagi menunggang motosikal jenis Honda, bersenjatakan parang dan kayu serta memakai topeng muka.

Menurutnya, semasa kejadian, dia baru sahaja tiba di kedai runcit di Kampung Gual To' Edeng, di sini, selepas membeli kelengkapan jualan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung untuk dihantar ke Pasar Tanah Merah.

“Dua lelaki menerkam isteri saya dan cuba mengambil beg tangan. Namun disebabkan isteri saya melawan, suspek memukulnya dengan bahagian belakang parang sehingga terjatuh.


“Dua lagi lelaki melibas parang dan berusaha menghalang saya daripada mendekati kedai kemudian menolak saya ke kebun getah yang terletak 30 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Kamarudin berkata, dalam kekalutan semasa kejadian itu, sebilah parang terlepas daripada pegangan salah seorang suspek dan mereka melarikan diri ke arah Jalan Batu Karang-Tanah Merah menaiki motosikal sama.

Sementara itu, isteri Kamarudin, Fatimah Ramli, 40, berkata, dia kehilangan wang tunai sebanyak RM5,000, barang kemas bernilai RM60,000, sembilan buku bank dan kunci.

Katanya, dia tidak sanggup meninggalkan barang kemas pusaka di rumahnya kerana ia baru sahaja dipecah masuk beberapa bulan lalu.

“Walaupun trauma dengan kejadian ini, namun perniagaan perlu diteruskan kerana pelanggan kami mengharapkan bekalan bahan mentah untuk kegunaan kenduri ketika musim perayaan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, pihaknya masih mengesan empat lelaki dalam lingkungan usia 20 hingga 30-an.

Menurutnya, siasatan turut menyentuh sama ada motosikal yang digunakan adalah motosikal curi atau tidak, manakala senjata digunakan dalam kejadian tersebut dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.


“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Namun peniaga mengalami kecederaan ringan kerana bergelut dengan penjenayah terbabit. Kes ini disiasat di bawah Sekyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...