Serdang: Polis menggiatkan usaha memburu dua peragut
ganas bermotosikal yang membelasah seorang wanita hingga cedera parah awal pagi
Rabu lalu.
Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, suspek langsung
tidak mengeluarkan kata-kata amaran sebelum memukul mangsa di Jalan Bandar
Kinrara 2 di sini.
Serangan mendadak itu menyebabkan mangsa wanita warga
Indonesia berusia lingkungan 30-an itu mengalami luka teruk ke kepala dan
badan.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi
Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan kaki menuju ke
tempat kerja di kawasan berhampiran.
Menurutnya, dua suspek lelaki yang menunggang sebuah
motosikal tiba-tiba muncul sebelum terus memukul belakang badan mangsa
menggunakan batang besi dibawa.
“Pukulan itu turut mengenai kepala mangsa. Suspek
kemudian merampas beg tangan mangsa sebelum melarikan diri.
“Pukulan kuat itu menyebabkan belakang badan mangsa
bengkak, kepalanya berdarah dan terpaksa menerima enam jahitan,” katanya.
Beliau berkata, bahagian muka mangsa juga lebam dan
dia mengadu sakit kaki akibat terjatuh atas jalan sejurus diserang.
“Mangsa kehilangan wang tunai, telefon bimbit dan
pasport antarabangsa miliknya.
“Polis masih mengesan suspek terbabit dan rondaan
cegah jenayah akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu
berulang,” katanya.