Ahad, 1 Februari 2015

Selesai kes culik: Syabas Stafoc dan JSJ Selangor


KUALA LUMPUR, 1 Februari: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam status Twitternya mengucapkan syabas kepada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, atas kejayaan menyelesaikan kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun, di Klang, pada 22 Januari lalu, dengan tertangkapnya enam lelaki dalam dua serbuan, pada awal pagi Sabtu.

“@PDRMsia Alhamdulillah kanak-kanak selamat.

“Syabas Stafoc dan JSJ Selangor berjaya selamat kanak-kanak lima tahun diculik di Selangor, dikurung di Port Dickson. Lima penculik ditangkap,” katanya.

Dalam pada itu, ketua JSJ Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, polis menemui kanak-kanak warga tempatan itu dalam serbuan pertama, dia sebuah pangsapuri di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada jam 12.05 pagi.


Katanya, polis menahan lima lelaki yang berada di rumah berkenaan, dipercayai suspek yang terlibat dalam kes penculikan mangsa.

Kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan khayal dan disyaki diberikan dadah, supaya mudah dikawal.

“Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Bahagian Pediatrik, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan keadaannya setakat ini stabil, malah telah sedar daripada pengaruh dadah.

“Ketika dijumpai, tiada sebarang kesan kecederaan pada badan kanak-kanak itu dan mangsa juga tidak diikat, cuma berada dalam keadaan khayal, namun jenis dadah yang diberi kepadanya masih dalam siasatan,” katanya yang dipetik Bernama.

Menurutnya, susulan tangkapan pertama itu, polis menahan seorang lagi lelaki dipercayai saki-baki anggota kumpulan penculik terbabit, menerusi serbuan kedua, di sebuah rumah di Taman Subang Permai, Subang Jaya, kira-kira jam 2.15 pagi.

Mohd Adnan berkata, siasatan awal mendapati, suspek ada menghubungi keluarga mangsa yang terlibat dalam bidang perniagaan, untuk meminta wang tebusan hampir RM850,000, malah turut mengugut akan mencederakan kanak-kanak itu, jika wang tersebut gagal diserahkan.

“Pada Rabu lepas, keluarga mangsa ada terima satu SMS (Sistem pesanan ringkas) melalui telefon bimbit ibu mangsa yang turut dicuri ketika penculikan itu dan meminta keluarga berkenaan menyerahkan wang tebusan sebanyak USD100,000, AUD100,000 dan RM200,000.

“Namun, wang tebusan itu tidak sempat diserahkan kepada suspek dan polis percaya, penculikan berkenaan tidak terlibat dengan isu lain, tapi semata-mata mahukan wang, kerana ada sebahagian daripada mereka mengenali mangsa dan keluarganya,” katanya.

Menurut Mohd Adnan, kesemua suspek warga tempatan itu sedang disoal siasat, bagi mengenal pasti dalang utama kes penculikan berkenaan.

Kesemua suspek direman sehingga Jumaat depan, untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Kanak-kanak itu diculik dua lelaki yang memecah masuk ke rumahnya di Taman Maznah, Klang dalam kejadian jam 2.10 pagi pada 22 Januari lalu, ketika mangsa sedang tidur bersama ibu dan adiknya.


Kejadian tersebut disedari jiran mereka yang segera menghubungi polis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...