Jumaat, 6 Mac 2015

Koperal polis ditahan kes lelaki mati terkena tembakan

ALOR SETAR - Seorang koperal polis ditahan berhubung kes seorang lelaki mati akibat terkena tembakan di Kampung Guar Nenas, Gurun semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, anggota polis berumur 30-an itu memaklumkan beliau telah melepaskan tembakan bertujuan memberi amaran kepada lelaki itu untuk memberhentikan motosikalnya yang disyaki dicuri daripada anggota polis itu.

"Bila mangsa ini memecut motor, dia (anggota polis) keluarkan sepucuk pistol, tembak ke arah bawah untuk memberi amaran dan melihat lelaki itu terus bergerak melarikan diri.
"Dia lapor kepada pegawainya bahawa telah melepaskan tembakan, lepas itu balik ke pejabat untuk serah pistol yang diguna untuk lepas tembakan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, anggota polis itu yang telah berkhidmat lebih 10 tahun ditahan pukul 7 malam semalam di Sungai Petani dan hari ini polis akan buat permohonan untuk meremannya untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...