Gambar hiasan |
GEORGE TOWN, 2 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki maut ditembak
dari jarak dekat di Jalan Scotland di sini, Isnin malam.
Mangsa yang berusia 51 tahun dan bekerja dengan syarikat
pengawal keselamatan ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal ketika dia
berhenti di lampu isyarat pada pukul 9.30 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan
Kesah berkata suspek telah menghampiri kereta Honda Odyssey mangsa dan
melepaskan beberapa das tembakan.
"Lebih lima tembakan yang dilepaskan dari sebelah kanan kereta mangsa mengenainya menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai
dua rekod jenayah membabitkan kes curi.
Polis menemui beberapa kelongsong dan peluru hidup 9mm di
tempat kejadian.
Mazlan berkata mangsa memandu kereta berkenaan bersama
seorang lagi lelaki berusia 24 tahun yang juga mempunyai rekod jenayah.
"Mereka dikatakan datang dari kuil berhampiran dan dalam
perjalanan pulang ke Perai," katanya.
Rakan mangsa itu yang merupakan peniaga tidak cedera dan
sedang disiasat.
Beliau berkata polis mengenal pasti nombor plat motosikal
yang dinaiki suspek dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk
bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu
diminta menghubungi pihak polis.