Gambar hiasan |
GEORGE TOWN, 1 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang atendan
hospital swasta dan tiga pelajar sekolah disyaki terlibat dalam kegiatan samun
selepas menahan sebuah kereta di Jalan Campbell, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid
berkata pada kejadian pukul 11 pagi itu sepasukan anggotanya yang sedang
melakukan rondaan cegah jenayah mengarahkan mereka berhenti kerana didapati
berkelakuan mencurigakan.
"Bagaimanapun pemandu kereta jenis Proton Saga itu terus
memecut namun mereka gagal meloloskan diri dan dapat diberkas beberapa
kilometer dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini.
Katanya pemeriksaan lanjut menemukan dua parang panjang yang
dibalut dengan surat khabar disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang dan
empat topi kaledar bercermin gelap dipercayai digunakan untuk kegiatan samun.
Beliau berkata kesemua suspek termasuk pelajar Tingkatan 4
dan Tingkatan 5 terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka
ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata polis
menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang cuba menyaumn sebuah rumah di
Lorong Delima, Island Glades di sini pada Ahad.
Beliau berkata dalam kejadian pukul 2.37 pagi itu sepasukan
anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada
penduduk setempat dan mengepung suspek.
"Suspek yang panik kemudiannya bertindak menyerang
anggota polis. Akibat pergelutan itu seorang anggota kita mengalami kecederaan
di bahu sebelah kiri dan retak jari kelingking kanan manakala suspek cedera
ringan di telinga kiri," katanya.
Katanya polis percaya suspek yang tinggal berdekatan kawasan
perumahan itu turut terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar Island
Glades dan dia ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. BERNAMA