Ahad, 1 Mac 2015

Tauke Kedai Warga Myanmar Maut Ditetak


SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan di seluruh badan di sebuah kedai runcit di Taman Harmoni, Ijok dekat sini, Khamis malam.

Dalam kejadian 12 tengah malam itu, mayat Soe Tin, 31, ditemui terbaring berlumuran darah di premis berkenaan yang dipercayai diusahakannya sejak setahun lepas.

Menurut sumber, lima lelaki yang juga warga Myanmar bersenjatakan parang telah memecah masuk kedai runcit itu yang juga merupakan rumah Soe Tin melalui pintu dapur. Ketika kejadian, dua adik perempuan mangsa sedang tidur di bilik berasingan.
Seorang suspek turut mengacukan parang ke leher rakan Soe Tin yang tidur di bilik mangsa sebelum tiga suspek lagi menetak mangsa, kata sumber itu.
"Mangsa mati di tempat kejadian dan kumpulan itu melarikan diri melalui pintu belakang rumah namun sempat mengambil telefon bimbit milik mangsa dan adiknya.
"Seorang adik perempuan mangsa berusia 26 tahun mendakwa kenal seorang suspek yang dikatakan bekerja di sebuah pasar borong," kata sumber itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan suspek yang terlibat dalam kejadian itu kini diburu polis.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...