Ahad, 1 Mac 2015

Pesara Wanita Cedera Dirompak dan Kerugian RM60,000


KEPALA BATAS: Seorang pesara kerajaan wanita bukan sahaja kerugian lebih RM60,000 dirompak tiga lelaki malah turut cedera selepas dipukul perompak berkenaan dalam kejadian di rumahnya di Jalan Tasek Gelugor, dekat sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata dalam kejadian pada 5 pagi itu, mangsa berusia 66 tahun sedang tidur sebelum terjaga selepas terdengar bunyi bising dalam biliknya di tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan.

"Seorang daripada lelaki berkenaan cuba mengikat tangan mangsa dan wanita itu melawan serta berlaku pergelutan sebelum suspek menumbuk muka warga emas tersebut beberapa kali sehingga menyebabkan bibir dan gigi berdarah serta lebam di muka.
"Mangsa kemudian telah diikat di besi katil dalam biliknya dan seorang daripada lelaki berkenaan turut mengugut wanita itu supaya diam jika tidak mahu dicederakan. Mereka telah mengambil barang kemas milik mangsa bernilai RM60,000 sebelum melarikan diri," katanya di sini, Sabtu.
Beliau berkata semasa kejadian terdapat seorang pembantu rumah warga Indonesia berada di bilik tingkat bawah rumah berkenaan dan wanita itu hanya menyedari majikannya dirompak selepas dimaklumkan mangsa.
"Wanita berusia 34 tahun itu yang bekerja dengan mangsa sejak dua tahun lepas memaklumkan dia langsung tidak menyedari kejadian itu dan hanya mengetahui selepas majikannya turun mendapatkan dia dengan tangan terikat," katanya.
Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati tiga lelaki dipercayai warga tempatan itu memotong pagar belakang rumah mangsa sebelum masuk melalui tingkap dapur kediamanan berkenaan.
Beliau berkata menurut mangsa tiga lelaki berkenaan menggunakan penutup muka dan bersarung tangan panjang bagi mengelak dikesan.
Mangsa yang telah kematian suami dan mempunyai tiga anak tiri yang bekerja serta menetap di Kuala Lumpur itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut, katanya.
"Terdapat CCTV di rumah mangsa bagaimanapun ia telah rosak dan polis akan cuba mendapatkan rakaman CCTV yang terdapat di kawasan berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.
Katanya kes disiasat menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...