BALIK PULAU, 30
Mac: Penemuan mayat di tepi jalan berhampiran empangan di Teluk Bahang hari ini
menimbulkan kegemparan buat penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan
berkenaan.
Mayat terbabit dikatakan seorang lelaki tua beragama
Islam ditemui hanya berkain pelikat putih, berkopiah dan ditutup dengan selimut
berwarna jingga.
Penduduk kemudiannya bertindak menghubungi pihak polis
yang tiba di lokasi kira-kira jam 10.47 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Lai Fah Hin
ketika dihubungi The Rakyat Post mengesahkan penemuan itu dan berkata,
tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, kami percaya suspek
meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.
“Mayat yang dilihat mempunyai kesan darah pada hidung
itu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat,” katanya.
Tambahnya, tiada kesan kecederaan pada badan mayat
terbabit dan polis percaya mayat berkenaan merupakan warga asing.
“Kami masih lagi menyiasat kes ini dan setakat ini kes
diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.