MERSING – Seorang janda beranak tiga mati dipercayai
akibat dibelasah kekasihnya, seorang anggota polis berpangkat koperal, di
kawasan rekreasi Hutan Bandar di sini awal pagi semalam.
Nurzilawati Akmar Affandi, 35, yang mempunyai tiga
orang anak berusia antara lapan hingga 15 tahun dipercayai maut dipukul suspek
yang tinggal di kuarters Kompleks Perumahan Polis Mersing dan bertugas di Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing di sini.
Jarak di antara kompleks perumahan itu dengan tempat
kejadian kira-kira 3.2 kilometer.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan M.
Kumar berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menyewa bilik di sebuah rumah
teres di Mersing Kecil telah pergi ke rumah suspek yang merupakan seorang duda
untuk berbincang mengenai hubungan mereka.
Bagaimanapun, kata beliau, tidak lama kemudian mereka
mula bertengkar.
Kumar berkata, suspek dan mangsa kemudian menaiki
motosikal menuju ke sebuah kawasan rekreasi di Hutan Bandar untuk meneruskan
perbincangan, namun pertengkaran tersebut semakin memuncak sehingga melibatkan
kekerasan.
“Akibat dibelasah suspek, mangsa dipercayai pengsan
sebelum suspek bertindak pulang ke rumahnya untuk mengambil kereta bagi membawa
Nurzilawati ke hospital,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.