Selasa, 14 April 2015

Inspektor polis didakwa rasuah


JOHOR BAHARU 14 April - Seorang Inspektor Polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tahun lalu.

Mohd. Shulul Azmil Shuaibon, 32, yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Selatan didakwa meminta suapan RM3,500 daripada orang awam, Azman Mat Zain di cawangan itu pada kira-kira pukul 5.25 petang, 13 Januari 2014.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan iaitu pertolongan yang dicadangkan dengan cara sama ada Azman dikenakan pertuduhan lebih ringan atau tidak menuduh Azman di mahkamah atas kesalahan menyebabkan kematian dalam satu kes kemalangan jalan raya pada 5 November 2012.


Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Shulul Azmil didakwa menerima suapan wang tunai RM3,000 daripada Azman sebagai dorongan yang sama, di lokasi sama, antara pukul 7 malam dan 7.50 malam, 15 Januari 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Mohamad Haldar Abd. Aziz membenarkan Mohd. Shulul Azmil diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada SPRM, Ridzuan Abd. Malik manakala tertuduh diwakili peguam Rosli Kamaruddin. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...