KUALA LUMPUR 17
April - Polis berjaya menumpaskan kegiatan sindiket ‘Macau Scam’ yang
dipercayai telah melakukan penipuan melibatkan kerugian lebih RM20 juta dengan
tertangkapnya 52 orang termasuk 26 wanita warga China dalam serbuan di enam
kondominium mewah di ibu negara bermula semalam hingga awal pagi ini.
Dipercayai
kondominium yang diserbu terletak di lokasi berhampiran KLCC, Pavilion, Jalan
Kia Peng dan Bukit Damansara serta disewa dengan kadar mencecah RM30,000
sebulan.
Dalam serbuan
itu, sebanyak sembilan komputer, 67 komputer riba, 55 telefon bimbit, 101
peralatan komputer, empat modem internet, 10 beg mengandungi risalah nombor
telefon, wang tunai RM14,955, mata wang China 28,695 yuan (RM16,760) dan
beberapa iPad telah dirampas.
Serbuan lebih
12 jam yang berakhir pada pukul 5 pagi itu diketuai oleh Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani.
Timbalan Ketua
Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, pihak polis bertindak menyerbu
kesemua premis berkenaan selepas menerima 15 laporan polis daripada mangsa dari
negara China.
Menurutnya,
jumlah mangsa yang membuat laporan sebenarnya kecil berbanding mereka yang
terpedaya kerana kerugian daripada jenayah itu dianggarkan bernilai jutaan
ringgit.
“Kami percaya
mangsa yang terlibat dalam penipuan ini berjumlah ratusan orang tetapi tidak
mahu membuat laporan. Bagaimanapun hasil laporan yang ada, kita tetap membuat
risikan selama dua bulan dan operasi ini adalah terbesar pada tahun ini.
“Sindiket ini
juga mengaut banyak keuntungan dan itu berdasarkan kemampuan mereka menyewa
kondominium yang mencecah minimum RM28,000 sebulan. Peralatan yang dirampas
sahaja bernilai RM200,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.