GEORGE TOWN – Seorang lelaki parah di paha dan tangan kirinya setelah terkena tiga das tembakan yang dilepaskan dua lelaki tidak dikenali semasa memandu lori di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Brown, Pulau Tikus di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan memandu lori tersebut hingga ke belakang sebuah pusat beli-belah berhampiran.
Mangsa yang berasal dari Bayan Lepas itu kemudiannya dikejarkan orang ramai ke Hospital Pulau Pinang (HPP) setelah ditemui berlumuran darah di dalam lori berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan di lokasi kejadian menjumpai tujuh kelongsong peluru kaliber 9 milimeter di atas jalan raya.