KUALA TERENGGANU – Hasrat pemain import skuad
Penyu, Gustavo Lopez untuk membantu keluarganya di Argentina tidak kesampaian
apabila wang yang bakal dikirimkan ke negara kelahirannya itu lesap dilarikan
pencuri, semalam.
Dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 1.30
petang itu, pemain tengah pasukan Terengganu tersebut alami kerugian lebih
RM40,000 apabila beg berisi wang tunai hilang dilarikan pencuri setelah pintu
kereta miliknya dipecahkan di tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Gong
Badak, dekat sini.
Menceritakan insiden yang berlaku itu, Gustavo
Lopez berkata, dia bersama isterinya, Valeria Soave, 32, dan anak, Bautista
berusia 2 tahun singgah di pasar raya itu untuk membeli keperluan rumah dan
meletakkan beg di bawah tempat duduk pemandu kenderaannya itu.
Menurutnya, selesai membeli belah di pasar
raya itu pada jam 3 petang, dia sekeluarga menuju ke kenderaannya dan mendapati
cermin depan sebelah penumpang kereta milik Persatuan Bola Sepak Negeri
Terengganu (PBSNT) pecah.
“Saya lebih terkejut apabila beg yang
didalamnya ada RM40,000 itu turut hilang. Saya keluarkan wang ini untuk hantar
kepada keluarga di Argentina.
“Selain wang, saya juga hilang jam
tangan jenama Armani dan pasport yang berada dalam beg terbabit turut dilarikan
pencuri,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, pemain berusia 32 berkata, selesai
mengeluarkan wang dari sebuah bank di bandar raya ini, dia bersama isteri dan
anak singgah ke pasar raya tersebut sebelum pulang ke kediamannya di Tok Jembal
Golf Resort, Kuala Nerus.
Katanya, dia percaya mereka yang tidak
bertanggungjawab itu (pencuri) sudah mengekorinya dari bank dan mengakui sedih
dengan kejadian tersebut.
“Ini insiden pertama yang kami alami, sebelum ini
kami hanya tahu kes sebegini di televisyen dan surat khabar, tetapi hari ini
(semalam) ia berlaku kepada kami.
“Malah ketika kami tinggal selama empat tahun di
Indonesia, perkara seumpama ini tidak pernah berlaku,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain tengah Arema Crounos
yang beraksi dalam Liga Indonesia berkata, selepas kejadian itu, dia
membuat laporan di Balai Polis Gong Badak pada jam 3.34 petang.
Sumber: KLIK DISINI