Polis
dilaporkan menahan hampir 30 orang peniaga Plaza Low Yatt sebagai sebahagian
siasatan terhadap insiden pergaduhan Sabtu dan Ahad lalu dakwa Ketua Persatuan
Peniaga dan Penjaja Kecil Bukit Bintang, See Foo Hong kepada portal berita
Malaysiakini.com
Sementara
itu, pemilik kedai telefon bimbit yang dikenali sebagai Tim Chon berkata
anggota polis berpakaian biasa mengambil beliau dan sembilan pekerjanya untuk
soal siasat. Mereka hanya dibebaskan jam lima petang semalam.
Jurucakap
Polis Daerah Dang Wangi dilaporkan mengesahkan bahawa empat orang peniaga
ditahan di bawah Seksyen 147 dan 427, Kanun Keseksaan kerana mencetuskan huru
hara dan kerosakan.
“Empat
individu yang bekerja sebagai jurujual telefon bimbit berusia antara 19 dan 29
tahun turut ditahan di plaza berkenaan pada 4 petang tadi. Keempat-empat suspek
terlibat dalam rusuhan,” katanya.
Sementara
itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata
terdapat enam suspek yang ditahan berumur antara 19 dan 43 tahun.
“Pada 11.30
pagi tadi, seorang lelaki berusia 43 tahun, ditahan kerana dipercayai terlibat
dalam menyampaikan ucapan yang berbaur hasutan di hadapan Plaza Low Yat pada
Ahad lepas.
“Ini boleh
menimbulkan isu perkauman dan ketenteraman awam yang berbilang kaum di negara
ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zainuddin
berkata lelaki itu akan ditahan reman esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang
Wangi dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
“Seorang
konstabel Polis Bantuan Felda berusia 22 tahun ditahan pada 1 tengah hari tadi
di Jalan Persiaran KLCC dan akan direman selama tiga hari bermula hari ini.
Beliau
berkata daripada 25 jumlah keseluruhan, masing-masing seorang terlibat dalam
kes mencuri dan hasutan manakala 23 lagi terlibat dalam kes rusuhan di plaza
itu, Ahad lepas.
Sebelum ini
Polis telah menahan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali
Baharom, bagi membantu siasatan berhubung kekecohan di Plaza Low Yat.
Dia yang
lebih dikenali sebagai “Ali Tinju” ditahan kerana didakwa membuat ucapan
bersentimen perkauman di luar plaza itu pada malam Ahad lalu.
Turut sama
ditahan individu yang disyaki jurublog Papagomo. Difahamkan papagomo ditahan
malam tadi dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi setelah gagal memberi respon
kepada permintaan polis untuk menyerah diri.