Rabu, 22 Julai 2015

Pendedahan Melanyi: Polis Tidak Tolak Kemungkinan Tahan Pihak Terlibat

Pendedahan Melanyi: Polis Tidak Tolak Kemungkinan Polis tidak menolak kemungkinan menahan beberapa individu yang didakwa bekas Pengarang Sarawak Tribune Lester Melanyi terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan meminta semua pihak memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan dengan penuh berhati-hati.
“Ini satu perkara yang amat serius seperti saya sebut sebelum ini. Pendedahan ini mengejutkan dan amat serius dan kita perlu jalankan siasatan dengan terperinci serta berhati-hati kerana ada kemungkinan orang yang terlibat itu akan ditahan untuk siasatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan polis bantuan koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad di i-City di sini Rabu.

Sebelum ini, terdapat dakwaan mengenai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara dan menjejaskan keselamatan nasional.
Laporan berkenaan menyebut bahawa pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan bekas Eksekutif PetroSaudi International Ltd Xavier Andre Justo untuk membeli maklumat daripadanya bagi memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.
Melanyi pada Isnin lepas memberitahu akhbar The Star bahawa beliau telah berjumpa Justo yang mengakui telah menemui beberapa pemimpin pembangkang yang ingin membeli maklumat untuk memburukkan kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di London dua atau tiga kali pada 2012 dan 2013.
Beliau turut mendakwa hampir 90 peratus kandungan laporan Sarawak Report mengenai 1MDB, syarikat pelaburan negara, diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam video berdurasi 6.02 minit itu, Melanyi turut menamakan seorang pakar pereka laman web berpangkalan di London yang didakwanya diupah pengasas Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown bagi mengubah dan mereka emel serta perjanjian palsu sehingga kelihatan tulen.
Khalid apabila diminta mengesahkan kebenaran mengenai dakwaan bahawa pemimpin pembangkang terlibat seperti yang didedahkan oleh Melanyi, beliau berkata: “Itu saya tidak cakap tunggu siasatan.”
Beliau berkata siasatan terhadap pendedahan yang dibuat oleh Melanyi itu dibuat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan berikutan terdapat unsur-unsur daripada pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.
Khalid berkata pihaknya telah mendapatkan keterangan daripada Melanyi dan kini sedang melakukan tindakan susulan atas apa yang disebut oleh bekas pengarang Sarawak Tribune itu dalam rakaman percakapan dengan pihak polis.
Ketika ditanya sama ada maklumat yang diberikan oleh Melanyi boleh diterima berikutan kredibilitinya dipertikaikan, Khalid berkata: “Kamu biarkannya kepada kami untuk menilai selepas kami selesaikan siasatan.”
Menurut beliau lagi, sehingga kini belum ada mana-mana pemimpin pembangkang yang tampil memberi kenyataan atau diambil keterangan susulan pendedahan Melanyi itu.
“Saya telah katakan sebelum ini bahawa sesiapa sahaja yang rasa hendak beri kerjasama kepada kita dalam siasatan ini boleh datang ke depan kemukakan sebarang dokumen atau bekerjasama beri percakapan. Sesiapapun dialu-alukan …jika mereka fikir mereka boleh bantu kami mengapa tidak,” katanya. — BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...