IPOH: Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan seorang lelaki menyamar sebagai pegawai
SKMM dan menawarkan Netbook 1Malaysia yang baharu, jika mangsa membayar
sejumlah deposit kepadanya.
Timbalan
Pengarah Pematuhan Kawal Selia SKMM Wilayah Utara, Hanita Izam Abdul Rahman
berkata, individu yang memperkenalkan diri dengan nama 'Zambri' itu mengatakan
bahawa dia mempunyai maklumat mengenai anggota keluarga yang ditawarkan Netbook
1Malaysia.
"Lelaki
ini datang rumah ke rumah dan memberi borang permohonan photostat kepada
mangsa. Mangsa diminta untuk menyerahkan wang deposit antara RM1,000 hingga
RM2,500 untuk mendapatkan Netbook 1Malaysia sebelum komputer diserahkan,"
katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau
berkata, selain meminta mangsa menjelaskan deposit, individu itu juga
menggunakan taktik lain seperti peraduan dan hadiah lumayan.
"Setelah
mangsa menjelaskan deposit, lelaki itu memberi pelbagai alasan untuk melarikan
diri seperti mahu mendaftar internet mangsa dan sebagainya," katanya.
Beliau
berkata, individu itu menjadikan penduduk kampung di kawasan Sungai Siput,
Manjung, Batu Gajah dan Chemor sebagai sasaran.
Hanita
berkata, kegiatan itu dilakuakn di Perak sejak dua tahun lepas dan mengikut
rekod polis, sebanyak 23 laporan diterima berhubung kes penipuan itu setakat
ini.
"Tahun
lepas polis menerima 16 laporan dan tahun ini tujuh laporan," katanya.
Beliau
berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penipuan itu hasil aduan
orang ramai secara terus ke pejabat SKMM dan ada juga kes yang dilaporkan
kepada polis.
"SKMM
tidak pernah melantik ejen atau mengarah mana-mana pegawainya untuk pergi ke
rumah-rumah bagi membuat tawaran Netbook 1Malaysia dan kami juga tidak pernah
mengenakan bayaran atas setiap netbook yang diserahkan," katanya.
Hanita
berkata, SKMM sentiasa bekerjasama dengan polis untuk mengesan suspek yang
terlibat dalam kes penipuan itu dan setakat ini polis memperoleh beberapa
petunjuk.
"SKMM
ada membuat beberapa posting di media sosial berkenaan perkara ini sebagai
peringatan kepada masyarakat dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau
berkata sekiranya didatangi mana-mana individu yang mengaku daripada SKMM dan
menawarkan Netbook 1Malaysia, perlu segera menghubungi balai polis berdekatan
atau datang sendiri ke pejabat SKMM.
"Jika
orang ramai mempunyai maklumat, sila buat laporan polis dengan segera atau
hubungi kami di aduanskmm@cmc.gov.my atau 1800-888030 atau telefon pejabat SKMM
Perak di talian 05-5014000," katanya.
Program Netbook
1Malaysia yang dilancar pada 2010, merupakan program pemberian komputer kepada
individu dan telah berakhir pada 19 Februari tahun lepas.
Bagi
pemberian netbook kepada Pusat Internet 1Malaysia, ia telah diagihkan pada 22
Jun tahun ini dan pemberian masih dijalankan.-- Bernama