Isnin, 17 Ogos 2015

Rumah Bekas Pegawai Kanan Polis Diceroboh ???


SHAH ALAM: Polis mengesahkan menerima tiga laporan berhubung kejadian dua remaja sekolah didakwa menceroboh sebuah rumah dipercayai milik seorang bekas pegawai kanan polis bergelar 'Datuk' seperti yang disebarkan menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata laporan itu diterima pihaknya daripada 'Datuk' terbabit manakala dua lagi daripada dua remaja berkenaan yang dikatakan berusia 17 tahun, pada malam Sabtu.

"Polis menahan dua remaja berkenaan dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen448 Kanun Keseksaan (menceroboh), Seksyen 323 Kanun Keseksaan (menyebabkan kecederaan) dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.


"Kedua-dua remaja berkenaan, bagaimanapun telah dibebaskan selepas disoalsiasat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Shafien, bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci kes tersebut yang didakwa berlaku di Seksyen 7 di sini, pada Jumaat lepas.

Katanya, beliau akan menjelaskan berkaitan kes itu pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Isnin.

Berdasarkan maklumat yang disebarkan menerusi media sosial, kes itu dikatakan berlaku apabila dua remaja terbabit didakwa memasuki kawasan rumah itu untuk berjumpa seorang anak bekas pegawai kanan polis terbabit untuk mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Bagaimanapun, kedua-dua remaja terbabit didakwa telah dituduh menceroboh rumah berkenaan, selain mereka turut mendakwa bekas pegawai kanan polis itu telah mengacu pistol selain melepaskan satu das tembakan ke udara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...