Isnin, 6 Julai 2015

Rompak waktu berbuka


Kuala Lumpur: Seorang penjenayah mengambil kesempatan waktu berbuka puasa untuk melakukan rompakan di sebuah bank di Sentul Raya di sini, bagi memastikan pengawal keselamatan bank terbabit tidak berada di lokasi itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa berusia 35 tahun ingin memasukkan wang ke dalam mesin deposit tunai sebelum didatangi seorang lelaki bersenjatakan parang yang memaksanya menyerahkan wang tunai berjumlah RM11,000.


Difahamkan, ketika kejadian pengawal keselamatan bank terbabit tiada di tempat kejadian kerana keluar berbuka puasa di luar kawasan bank berkenaan menyebabkan penjenayah terbabit mudah melakukan rompakan itu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pengawal keselamatan terbabit sepatutnya bertugas di bank terbabit, namun keluar ke restoran berhampiran untuk berbuka puasa.

Menurutnya, tindakannya itu mengundang padah apabila penjenayah mengambil peluang kerana kurangnya kawalan keselamatan di bank terbabit ketika itu.

“Kami sudah memanggil pengawal keselamatan dan wakil syarikat keselamatan terbabit untuk memberi penjelasan berkaitan kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati pengawal keselamatan itu tidak terbabit dengan kejadian jenayah ini,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul di sini, semalam.

Munusamy berkata, dalam kejadian terbabit, suspek bersenjatakan parang memakai topi keledar berpenutup gelap mengacukan parang kepada mangsa.


“Mangsa yang bekerja sebagai jurujual motosikal itu bagaimanapun tidak dicederakan penjenayah terbabit,” katanya.

Sumber: KLIK SINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...