Ahad, 20 September 2015

2 lelaki yang nekad merompak kelab malam


KUALA LUMPUR, 20 September:

Kail panjang hanya sejengkal tapi niat hati meredah lautan.
Itu yang boleh diumpamakan terhadap tindakan dua lelaki yang nekad merompak kelab malam, awal pagi tadi, namun cubaan mereka gagal apabila mereka tertangkap.

Difahamkan, lelaki berusia 22 tahun dan 29 tahun itu, dengan hanya menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC dan Yamaha Nouvo menuju ke kelab malam di Plaza Medan Putra 6, Bandar Manjalara, Kepong pada jam 3.33 pagi tadi.

Dengan hanya berbekalkan beg hitam, mereka dikatakan menghampiri premis berkenaan ketika pemiliknya sedang bersiap-siap untuk pulang.


Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, suspek kemudian meminta wang daripada pekerja kelab malam berkenaan.

“Beberapa pekerja premis cuba menghalau kedua-dua suspek dan berlaku ketegangan di antara kedua-dua pihak. Namun, suspek berkeras untuk tidak beredar dan terus meminta wang,” katanya.

Difahamkan, selang beberapa minit selepas itu, empat anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) tiba di situ dan membuat pemeriksaan selepas mendapati keadaan di hadapan premis yang mencurigakan.

“Beg hitam yang dibawa dua orang suspek itu dipercayai untuk mengisi wang rompakan. Hasil pemeriksaan kami terdapat dua bilah pisau di dalamnya,” kata Munusamy dalam satu kenyataan hari ini.


Kedua-dua suspek yang berasal dari Selangor itu dibawa ke Balai Polis Sentul untuk siasatan dan hasil semakan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...