Jumaat, 4 September 2015

Bersih 4.0: PDRM Guna Gambar, Video Kesan Lebih Ramai Individu

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti bukti daripada gambar dan video sewaktu perhimpunan haram Bersih 4 hujung minggu lepas bagi mengesan lebih ramai individu untuk membantu siasatan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata tindakan tersebut perlu diambil bagi merakam percakapan dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan jika terbukti bersalah.

"Polis akan memanggil lebih ramai lagi yang terlibat dalam Bersih selain tujuh individu yang dipanggil ke Bukit Aman.


"Kami berjaya mengawalnya (perhimpunan). Kami akan ambil apa juga tindakan dan akan ada orang lagi akan dipanggil. Kami sekarang sedang melihat gambar dan video untuk mengesan mereka yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Teknologi Keselamatan Asia Tenggara (IFSEC Asia Tenggara) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Khamis.


Dilapor pada Selasa lepas, polis mengambil keterangan tujuh anggota jawatankuasa pemandu dan sekretariat Bersih iaitu pengerusi Maria Chin Abdullah, timbalan Pengerusi Sarajun Hoda Abdul Hassan, Masjaliza Hamzah, Mandeep Singh, Farhana Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan Adam Adli Abdul Halim.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...