KUALA LUMPUR 3 Sept. - Sebanyak 207
laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung tindakan biadab memijak
gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan haram minggu lalu.
Jumlah laporan polis yang direkod Polis
Diraja Malaysia (PDRM) itu bermula 31 Ogos sehingga semalam dan angka itu
dijangka meningkat berikutan tidak puas hati orang ramai, termasuk penyokong
parti politik UMNO dan Pas terhadap kebiadaban peserta Bersih 4.0 yang
terlibat.
Daripada jumlah itu, laporan polis
daripada pihak UMNO paling tinggi dicatat iaitu 95, diikuti badan bukan
kerajaan (NGO) sebanyak 67 laporan termasuk dua daripada Pertubuhan Pribumi
Perkasa Malaysia (Perkasa).
Pas pula tidak ketinggalan menuntut
PDRM melakukan siasatan terhadap individu-individu tidak bertanggungjawab itu
apabila membuat sebanyak 19 laporan polis.
UMNO Pahang dan Perak paling banyak
membuat laporan polis dengan 22 laporan manakala Pas Perak dan Kelantan juga
bertindak sedemikian apabila masing-masing mengemukakan lima dan empat laporan
polis.
Sebanyak 24 laporan lagi dibuat oleh
orang awam yang prihatin.
Kontinjen negeri yang paling banyak
menerima laporan polis adalah di Perak dengan 80, diikuti Pahang (24); Kuala
Lumpur (22); Kedah (18); Pulau Pinang (16); Kelantan (11); Perlis (13); Negeri
Sembilan (12).
Orang ramai sebelum ini menzahirkan
kekecewaan dengan tindakan peserta perhimpunan Bersih 4.0 tersebut dan mereka
mengutuk tindakan biadab itu dengan menyifatkannya sebagai tidak bermoral.
Perlakuan memijak gambar pemimpin jelas
bukan budaya rakyat Malaysia tetapi ia dilihat cuba dijadikan sebagai budaya
oleh penganjur dan peserta demonstrasi itu.
Sementara itu, dalam sidang akhbar di
sini hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran
sekali lagi kepada individu-individu yang memijak gambar pemimpin negara itu
supaya tampil menemui pihak berkuasa untuk membantu siasatan.
“Individu berkenaan harus datang kepada
kami dan mereka yang mengenali individu itu diminta untuk memberi maklumat
sebelum polis melakukan tindakan lanjut mengikut cara polis.
“Buat masa ini kita akan beri peluang
untuk mereka tampil membantu siasatan kita,” jelasnya.
Sumber: KLIK DISINI