GEORGE TOWN: Seorang ahli perniagaan wanita di
sini mendakwa ditipu sindiket 'love scam' yang didalangi rakyat asing
menyebabkan dia kerugian RM126,000.
Wanita
berusia 32 tahun yang telah berkahwin itu mendakwa berkenalan dengan seorang
'lelaki kacak' menerusi laman sosial Facebook yang mengarahkan dia untuk
memasukkan wang ke dalam dua akaun bank tempatan untuk membolehkan dia menuntut
hadiah pemberian lelaki terbabit.
Pemangku
Ketua Wanita Gerakan Pulau Pinang Hartini Tan Abdullah berkata wanita berkenaan
mengenali lelaki terbabit Julai lepas dan mula memasukkan wang selepas
mendapat panggilan daripada anggota sindiket berkenaan bagi mendapatkan hadiah
yang dihantar kepadanya.
"Seseorang
yang mendakwa dari sebuah jabatan kerajaan memberitahu mangsa yang dia perlu
membayar sejumlah wang jika hendak mendapatkan bungkusan hadiah mengandungi
wang tunai, emas dan minyak wangi itu.
"Mangsa
yang mahukan hadiah itu kemudiannya memasukkan RM126,000 menerusi 19 transaksi
ke dalam dua akuan milik orang tempatan sebelum menyedari dia ditipu dan
membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 5 Okt
lepas," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.
Hartini
berkata wanita itu membuat aduan kepada Gerakan pada 14 Okt lepas selepas
kecewa kerana mendakwa tiada perkembangan daripada pihak polis berhubung kes
itu dan telah beberapa kali menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan.
Sehubungan
itu, beliau berharap polis dapat menjalankan siasatan kes itu secepat
mungkin kerana ia membabitkan jumlah kerugian yang besar.
"Gerakan
juga bercadang mengadakan kempen dan dialog kepada golongan wanita bagi memberi
kesedaran berhubung sindiket love scam ini kerana semakin banyak kes seumpama
itu dilaporkan sekarang ini," katanya.
Sementara
itu Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi
berkata polis memulakan siasatan kes itu sebaik menerima laporan.
Beliau
berkata polis telah memperoleh maklumat mengenai pemilik akaun berkenaan
dan usaha mengesan mereka yang dipercayai orang tempatan dan anggota sindiket
itu giat dijalankan.
"Saya
juga ingin menasihatkan orang ramai terutama golongan wanita agar tidak
terpedaya dengan sindiket love scam itu," katanya.