GEORGE TOWN: Polis
menahan seorang wanita Indonesia yang dipercayai penganjur pelacuran di sebuah
apartment di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong di sini malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior
Faridalatrash Wahid berkata wanita berusia 57 tahun yang dipercayai menjalankan
kegiatan itu sejak beberapa bulan lepas ditahan dalam serbuan polis ke
apartment itu pada pukul 10.15 malam.
"Turut ditahan lima wanita iaitu tiga
Indonesia dan dua Vietnam yang disyaki pelacur. Mereka yang berusia 26 hingga
32 tahun itu masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial," katanya
di sini Isnin.
Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki
berusia 52 tahun dipercayai pelanggan bagi membantu siasatan kes itu. - BERNAMA