Gambar hiasan |
BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki
cedera parah ditembak dari jarak dekat di Kampung Bukit Merah, Permatang Pauh
di sini, hari ini.
Yap Kang Hee, 27, ditembak ketika
menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya pada pukul 5.20 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad berkata, mangsa yang bekerja sendiri itu
cedera di leher dan bahu.
"Suspek yang menaiki
motosikal dipercayai mengekori mangsa sebelum melepaskan dua das tembakan
menyebabkan motosikal mangsa terbabas dan melanggar tiang sebuah rumah di situ
sebelum terjatuh manakala suspek memecut melarikan diri," katanya ketika
ditemui di tempat kejadian, di sini.
Zakaria berkata, lelaki itu
dihantar ke Hospital Seberang Jaya oleh seorang anggota keluarganya yang
kebetulan berada di tempat kejadian dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Siasatan lanjut masih
dijalankan termasuk menyiasat motif kejadian itu," katanya.
Beliau meminta kerjasama orang
ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai
polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama