Sabtu, 31 Oktober 2015

Mangsa Culik Ditemui Selamat


KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa culik ditemui selamat di perhentian bas di Batu 4, Jalan Gombak di sini, Jumaat.

Polis kini sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes culik berkenaan di Kampung Padang Balang, Sentul di sini petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kedua-dua suspek dipercayai menculik mangsa yang berumur setahun dua bulan itu ketika dia sedang bermain di hadapan rumahnya.

"Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal membawa lari mangsa. Susulan itu, kakak mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak pada 6.30 petang tadi.
"Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan selamat setengah jam kemudian oleh polis bersama penduduk kampung di perhentian bas di Batu 4, Jalan Gombak di sini," katanya ketika dihubungi.
Katanya, mangsa dipercayai ditinggalkan suspek setelah mengetahui polis sedang mengesan mereka.
Mangsa kemudian dibawa ke Balai Polis Setapak sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...