PUTRAJAYA 20 Okt. - Seorang pegawai
pelesenan dan sembilan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor
antara 11 yang direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes
rasuah lesen projek rumah urut di kawasan Lembah Klang.
Seorang orang awam yang dikatakan
bertindak sebagai orang tengah antara penguat kuasa dan pemilik rumah urut
turut direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) mendapatkan perintah reman itu yang dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie
Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini terhadap
kesemua lelaki berumur antara 30-an hingga 50-an.
Menurut pegawai SPRM, perintah reman itu
bertujuan membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009 iaitu
meminta atau menerima rasuah.
Katanya kesemua suspek ditahan di
pejabat mereka pada pukul 9 pagi semalam ketika sedang bertugas.
Orang tengah terbabit yang juga disyaki
mempunyai rumah urut sendiri, ditahan di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur pada
pukul 10 pagi semalam.
Menurut pegawai SPRM, penahanan kesemua
suspek berdasarkan hasil risikan selama hampir setahun, dengan nilai suapan
disyaki antara RM200 hingga RM30,000.
Semua suspek disiasat di bawah Seksyen
17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan
denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika
sabit kesalahan.- BERNAMA