Rabu, 21 Oktober 2015

Penyanyi popular 90an ditahan miliki pistol


KUALA LUMPUR - Seorang penyanyi bagi kumpulan popular tahun 90-an ditahan kerana dipercayai memiliki pistol angin di Kampung Chubadak, Sentul, awal pagi tadi.

Lelaki yang berusia 46 tahun itu di tahan selepas unit cawangan pencegahan jenayah menemui kenderaan jenis Proton Gen 2 yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Sentul, R Munusamy berkata, suspek ditahan kira-kira jam 1.45 pagi tadi.

"Pemeriksaan menemui sepucuk pistol angin berwarna hitam jenis Walther CP99," katanya.


Menurutnya, pistol tersebut ditemui di atas tempat duduk pemandu di bahagian kiri.

"Suspek mengaku pistol itu adalah miliknya," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau membabitkan kes dadah pada 2004.

Suspek yang juga peserta sebuah rancangan realiti kini ditahan untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...