KUALA LUMPUR: Polis telah
membuka tiga kertas siasatan berhubung aduan terhadap bekas Perdana Menteri Tun
Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam
Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada tiga kertas siasatan
tersebut, dua daripadanya melibatkan siasatan yang sedang dijalankan manakala
satu lagi kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk
arahan selanjutnya.
"Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan
terhadap aduan yang dibuat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu berkaitan
Klang Report 33074/14 dan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana
mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan
Pendakwa Raya untuk ulasan dan arahan lanjut setelah siasatan selesai
dijalankan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan
Kok Wai (DAP-Cheras) yang meminta Timbalan Perdana Menteri menyatakan hasil
siasatan dan tindakan yang diambil ke atas Dr Mahathir.
Menurut Ahmad Zahid, satu lagi kertas siasatan
berkaitan Jinjang Report dan ia telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada
9 Okt lepas untuk arahan selanjutnya.
"Pihak polis juga menjalankan siasatan berkait
Jinjang Report 18448/2015 dan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun
Keseksaan," katanya.