Sabtu, 7 November 2015

ANGGOTA RELA TERLIBAT DALAM PEMBALAKAN HARAM

SETIU -  Tindakan dua lelaki termasuk seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melepaskan tembakan bagi menghalang pihak berkuasa dalam usaha membanteras kegiatan pembalakan haram mengundang padah apabila mereka diberkas pasukan polis.

Mereka yang dipercayai terlibat dalam aktiviti tersebut dikatakan melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dalam kejadian berhampiran Hutan Simpan Gunung Tebu, dekat bandar Permaisuri  di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 pagi itu, dua suspek berusia 38 dan 43 tahun bertindak demikian bagi bagi sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu yang dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas dua buah motosikal suspek yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pembalakan haram itu.


Menurut sumber, sebelum itu pasukan penguat kuasa terbabit  telah pergi ke Hutan Simpan Gunung Tebu melalui Felda Kampung Besut, di sini, bagi mengesan aktiviti pembalakan haram yang dipercayai berlaku di kawasan berkenaan.

Menurutnya, operasi dilakukan hasil risikan selama sebulan di sekitar kawasan hutan berkenaan sebelum menemui laluan kesan tayar motosikal.

“Pasukan penguat kuasa bertindak menjejakinya kesan tayar motosikal tersebut hampir lima kilometer dari sempadan hutan simpan sebelum menemui dua buah motosikal yang diubah suai.

“Motosikal terbabit dipercayai digunakan dalam aktiviti pembalakan haram yang membabitkan penebangan pokok pelbagai spesies untuk dijadikan kayu saiz,” katanya.

Sumber itu berkata, anggota penguat kuasa terbabit cuba mengeluarkan motosikal itu sebelum  didatangi dua lelaki yang bertindak menghalangnya kemudian melepaskan dua das tembakan.

Katanya, dua lelaki termasuk anggota Rela berusia 43 tahun itu mendakwa motosikal itu adalah milik mereka.

“Bagaimanapun, kedua-duanya berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu untuk tindakan lanjut.

“Satu laporan polis dibuat di balai sama oleh seorang pegawai Jabatan Perhutanan berusia 31 tahun mengenai tindakan suspek,” katanya.

Kata sumber itu lagi, tidak ada kecederaan atau kejadian tidak diingini berlaku dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Menurutnya, polis menahan kedua-dua suspek bersama selaras senapang patah bersama 12 butir peluru pelbagai warna dan sebutir kelongsong warna hijau.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.



Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...