HULU TERENGGANU - Operasi Khas
Trafik Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) hari ketiga semalam menyaksikan polis
berjaya membongkar penemuan dipercayai daun ketum dan dadah jenis pil.
Ia terbongkar susulan penahanan
sebuah Toyata Estima atas kesalahan memandu melebihi had laju.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30
petang di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ajil itu, polis mendapati kenderaan
pelbagai guna (MPV) dinaiki empat lelaki itu turut menggunakan nombor
pendaftaran palsu dari Singapura.
Ketua Polis Daerah Hulu
Terengganu, Deputi Superitendan Hussin Deraman berkata, terdahulu pihaknya
menahan kenderaan itu dalam sekatan di kawasan hentian rehat setelah kamera
perangkap had laju mengesan MPV berkenaan dipandu melebihi had laju.
“Ekoran penahanan itu, hasil
pemeriksaan awal mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran
palsu. Pemeriksaan lanjut berjaya membawa pihak polis menemui barangan
terlarang itu yang diletakkan dalam bonet.
“Selain menemui 10 bungkus
plastik dipercayai daun ketum seberat 46 kilogram dan 911 biji pil disyaki
dadah, pihak polis juga turut menemui tiga ekor ayam laga. Kesemua empat lelaki
berusia 29 tahun hingga 45 tahun ditahan sebelum dibawa ke IPD Hulu Terengganu
untuk siasatan lanjut.
“Kenderaan dinaiki suspek
dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke selatan. Kesemua mereka
kini ditahan di lokap IPD Hulu Terengganu sebelum mendapat perintah tahanan
reman daripada mahkamah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Tambah Hussin, kes tersebut
disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan juga Seksyen
30 (3) Akta Racun 1952.
Untuk rekod, Operasi khas trafik
dijalankan bermula 5 hingga 9 November ini dengan kekuatan pegawai dan anggota
trafik kontinjen Terengganu serta dibantu pegawai serta anggota trafik dari
Bukit Aman dengan jumlah keseluruhan kekuatan 27 pegawai dan 103 anggota
lain-lain pangkat.