KUANTAN: Padah menghina
anggota polis di laman sosial Facebook, seorang lelaki ditahan dalam satu
sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek di sini awal pagi Sabtu, kurang sejam
selepas memuat naik status berkenaan.
Ketua Polis Daerah
Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata lelaki berusia 23 tahun yang berasal dari
Permatang Badak, Bukit Rangin di sini sebelum itu disaman dalam satu
sekatan jalan raya atas kesalahan mengubahsuai ekzos oleh seorang anggota polis
trafik wanita kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
"Suspek yang
memandu kenderaan Proton Satria Neo bagaimanapun dilaporkan tidak berpuas hati
dengan tindakan itu dan telah memuat naik status menghina anggota polis wanita
berkenaan dalam laman sosial tersebut.
Tindakan itu
kemudiannya disedari oleh salah seorang anggota polis dan telah memaklumkan
perkara itu kepada anggota polis trafik wanita berkenaan, " katanya Kepada
pemberita di sini.
Abdul Aziz berkata
suspek yang tidak menyedari perbuatannya itu telah diketahui, melalui sekali
lagi sekatan jalan raya tersebut dipercayai untuk pulang ke rumahnya.
Lelaki itu kemudian
ditahan dengan bantuan beberapa anggota polis lain sebelum dibawa ke Balai
Polis Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998.
"Kita akan
menyerahkan kes berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
(Malaysia) untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam masa yang sama
Abdul Aziz turut menasihati pengguna laman sosial supaya tidak memuat naik kata-kata
kesat atau komen menghina pihak berkuasa untuk mengelakkan mereka dikenakan
tindakan.