Sabtu, 28 November 2015

Inspektor minum cecair pencuci dalam lokap SPRM

KOTA BHARU, 27 November: Pegawai polis berpangkat Inspektor yang direman selama tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas dikatakan cuba membunuh diri.

Suspek dipercayai bertindak meminum cecair pencuci badan yang dibekalkan kepadanya dalam kejadian pada malam Rabu lalu.

Difahamkan, suspek ditahan Selasa lalu dan dikenakan perintah reman selama seminggu bagi membantu siasatan SPRM membabitkan kes rasuah RM15,000 bersabit satu kes curi kenderaan.


Sumber berkata, semasa kejadian suspek yang direman sehingga Selasa depan itu ditahan di sebuah lokap yang terletak di dalam bangunan Kompleks SPRM Kelantan, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.

“Suspek yang bersendirian itu dipercayai meminum cecair syampu pencuci badan yang dibekalkan kepadanya.

“Nasib baik pegawai SPRM yang bertugas terdengar bunyi seperti orang muntah sebelum tindakan pantasnya berjaya menyelamatkan suspek,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Katanya, suspek kemudian dikejarkan ke HRPZ II untuk rawatan lanjut sebelum dia disahkan berada di dalam keadaan stabil.

“Daripada maklumat yang diperolehi, suspek memberitahu dia mendengar suatu suara yang menyuruhnya meminum cecair tersebut untuk membunuh diri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan pegawainya telah menangani perkara tersebut.
“Perkara itu sempat ditangani oleh pegawai penjaga lokap dan tiada sebarang kecederaan serius,” katanya.


Pegawai polis berusia 25 tahun terbabit ditahan pada 5 petang, Selasa lalu di Rantau Panjang selepas menerima rasuah untuk melepaskan suspek yang ditahan.


Difahamkan, suspek meminta wang RM15,000 namun pengadu hanya memberi RM10,000 bertujuan supaya dilepaskan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...