Gambar hiasan |
GEORGE TOWN: Tindakan pantas seorang wanita
menghalang sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki yang baru meragut wanita
lain dengan menggunakan keretanya, berjaya menahan suspek berkenaan di
Lebuh Chulia, di sini, Khamis.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior
Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, peragut
berusia 39 tahun berkenaan telah meragut seorang wanita berusia 58 tahun yang
berada di tepi jalan.
Semasa kejadian, wanita berkenaan sedang menunggu
rakannya dan tiba-tiba datang sebuah motosikal ditunggang suspek, bertindak
menarik beg tangan mangsa yang disangkut pada bahu kanannya.
"Ekoran kejadian itu, mangsa terjatuh dan
mukanya terkena jalan sehingga menyebabkan kecederaan, dalam masa sama seorang
pemandu kereta yang terlihat kejadian itu bertindak menghalang motosikal
suspek," katanya di sini Jumaat.
Beliau berkata motosikal yang ditunggang lelaki itu
terbabas sebelum dia terjatuh dan ditahan oleh orang ramai sebelum
menyerahkannya kepada polis.
Mior Faridalatrash berkata mangsa wanita yang
cedera dan luka di tangan dan di lutut kanan serta patah gigi depan itu
mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Pulau Pinang.
Katanya siasatan awal mendapati suspek mempunyai
tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.
"Polis percaya lelaki itu aktif menjalankan
kegiatan samun dan ragut di sekitar daerah ini," katanya menambah lelaki
itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan
iaitu samun mendatangkan cedera.
"Polis amat menghargai peranan dan keberanian
yang ditunjukkan masyarakat dalam sama-sama membanteras kes
jenayah...penjenayah akan sedar tindakan mereka bukan sahaja dipantau polis
tetapi juga masyarakat awam," katanya.