Rabu, 30 Disember 2015

Ahli Perniagaan Ditipu RM645,229 Dalam Pelaburan Saham

SEREMBAN, 29 Dis (Bernama) - Seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun telah ditipu oleh sebuah syarikat yang kononnya terlibat dalam urusan pelaburan saham, membabitkan kerugian berjumlah RM645,229.

Ketua Polis daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata mangsa menyedari dirinya ditipu apabila dalam tempoh setahun ini, bermula sejak Disember tahun lepas, mangsa tidak mendapat sebarang pulangan dari pelaburan saham yang kononnya diuruskan oleh syarikat terbabit.

"Mangsa membuat bayaran secara berperingkat-peringkat melalui transaksi bank dan bayaran secara tunai dalam tempoh setahun ini.


"Bertindak dari maklumat yang diberikan oleh mangsa, pihak polis telah menahan tiga suspek yang dipercayai terlibat dengan kes ini.

"Suspek pertama seorang lelaki berusia 40 tahun dan seorang wanita berusia 25 tahun ditahan di pejabat mereka pukul 4.30 petang semalam manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 41 tahun ditahan di rumah pukul 3.30 pagi tadi," katanya.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Muhamad Zaki berkata dalam serbuan itu pihak polis turut merampas wang tunai sebanyak RM363,370, dokumen berkaitan urusan perniagaan dan tiga buah kenderaan milik kesemua suspek.

Beliau berkata siasatan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat tersebut berdaftar dengan SSM, tetapi tidak mempunyai lesen dari Bank Negara Malaysia untuk mengambil deposit dari orang awam.

"Selain itu, salah seorang suspek yang mengaku sebagai remisier juga tidak mempunyai lesen remisier untuk menjalankan urusan jual beli saham," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Muhamad Zaki berkata pihak polis percaya suspek dan syarikatnya telah menipu ramai orang.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang awam yang merasakan diri mereka ditipu dalam pelaburan berkaitan saham oleh syarikat yang berpangkalan di Seremban, untuk tampil membuat laporan.


Dalam pada itu, katanya, polis meminta seorang lelaki, Md. Shah Shairie Abdul Rahman, 32, dengan alamat terakhir di Nilai, untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...