Jumaat, 1 Januari 2016

Pelajar kolej individu pertama dituduh anggotai al-Qaeda

SEPANG 31 Dis. – Seorang pelajar kolej di Kaherah, Mesir menjadi individu pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas al-Qaeda (Jund al Aqsa) dengan menjadi ahli kumpulan berkenaan.

Mohamad Hidayat Azman, 19, dari Kuala Bagan Tiang, Perak yang merupakan pelajar Kolej Markaz Salam di Hayyu Asyir, Kaherah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 7 Disember lalu, sejurus tiba dari Mesir.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa memasuki Syria dengan menaiki pesawat dari KLIA di antara 5 September 2014 hingga 1 September 2015 bagi memberi sokongan kepada kumpulan pengganas al-Qaeda (Jund al Aqsa) de­ngan menjadi ahli kumpulan itu.


Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130 J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.
Mohamad Hidayat hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan tersebut. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Hakim Noor Hafizah Mohd. Salim menetapkan sebutan semula kes pada 28 Januari tahun depan.

Tertuduh dibawa ke Penjara Sungai Buloh memandangkan pertuduhan terhadapnya tidak membenarkannya diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...