Jumaat, 4 Disember 2015

DUA LELAKI BERTOPENG LARIKAN BARANG KEMAS BERNILAI RM80,000

Gambar hiasan
Kuantan, 4 Nov - Dua lelaki bersenjatakan tukul serta pedang samurai merompak sebuah kedai emas di Jalan Mahkota di sini petang ini dan melarikan sedulang barang kemas dianggar bernilai RM80,000.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian pukul 2 petang itu kedua-kedua suspek yang memakai topeng menyerbu masuk ke dalam premis itu dan meminta pemiliknya, seorang wanita berumur 50an, dan seorang lelaki berusia 20an supaya tidak membuat bising.

"Sebaik masuk ke premis tersebut seorang daripada penjenayah berkenaan terus memecahkan cermin pameran tersebut dengan menggunakan tukul dan mengambil sedulang barangan kemas yang dianggar bernilai RM80,000," katanya ketika dihubungi di sini.

Kejadian berlaku tidak sampai empat minit dan kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menggunakan kereta Perodua Viva berwarna putih yang diletakkan di depan kedai emas tersebut.

Polis kini sedang giat melakukan operasi untuk mengesan penjenayah yang terlibat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...