Jumaat, 4 Disember 2015

POLIS SELAMATKAN MANGSA CULIK, TAHAN LAPAN SUSPEK

Shah Alam, 4 Dis - Seorang penganggur berumur 35 tahun yang diculik tiga lelaki di rumahnya pada Isnin lepas kerana masalah hutang, ditemui semula dalam keadaan selamat di sekitar Jalan Pos Baru di Klang pada Rabu, dua hari selepas kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata polis menerima laporan daripada datuk mangsa berusia 84 tahun mengatakan cucunya itu dilarikan dari kediaman mereka di Jalan Turi Palm Grove, Klang.


"Menurut pengadu, cucunya dilarikan ke suatu tempat yang tidak diketahui selepas pengadu hanya mampu membayar hutang cucunya berjumlah RM1,000 daripada jumlah asal RM32,000 yang dituntut suspek.

"Bertindak daripada laporan oleh datuk mangsa, polis menubuhkan pasukan penyiasat yang kemudiannya berjaya menemui mangsa di Jalan Pos Baru di Klang pada 2 Dis lepas," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penemuan mangsa, polis menahan seorang lelaki berumur 23 tahun di Jalan Pekan Baru, Klang semalam dan merampas sebuah Toyota Vios berwarna hitam dipercayai digunakan untuk melarikan mangsa.

Mohd Adnan berkata polis turut menahan dua lagi suspek yang merupakan adik-beradik berumur 24 dan 26 tahun awal pagi ini di sebuah rumah di Jalan Hamzah Alang 2, Taman Sentosa, Klang.

"Beberapa jam kemudian, polis menahan lima suspek lagi, termasuk sepasang suami isteri, berumur 18 hingga 36 tahun di sebuah rumah di Taman Eng Ann, Klang dan merampas beberapa barangan seperti 26 kotak berisi mercun, 45 keping kad SIM dan empat komputer riba," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 363/384 Kanun Keseksaan selain Akta Bahan Letupan dan jenayah komersial kerana disyaki menjalankan aktiviti penipuan serta ceti haram. - BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...