KUALA LUMPUR: Lima lelaki
dipercayai terbabit kegiatan keganasan ditahan Bahagian Anti Keganasan Cawangan
Khas Bukit Aman dalam satu operasi khas di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor pada 17 November hingga Selasa lalu.
Semua yang
ditahan terdiri daripada empat warga asing, masing-masing terdiri daripada seorang warga Eropah,
Afrika, Indonesia dan Bangladesh, manakala seorang lagi adalah rakyat tempatan, berusia
antara 25 hingga 59 tahun.
Ketua
Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata suspek pertama ditahan di Kuala
Lumpur adalah seorang warga Eropah berusia 44 tahun yang bekerja sebagai guru
sambilan bahasa Inggeris di Pulau Pinang.
"Suspek
dipercayai pernah menyertai kumpulan pengganas al Qaeda serta terbabit dalam
aktiviti keganasan di Afghanistan dan Bosnia.
"Suspek
kedua adalah warga Afrika berusia 29 tahun yang juga pelajar sebuah kolej
swasta di Petaling Jaya, dia ditahan dalam serbuan di Cheras," katanya
menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Bukit Aman, hari ini.
Tiga lagi suspek yang ditahan di Kelantan,
Selangor dan Johor adalah anggota kumpulan sel yang disyaki mempunyai hubungan
dengan kumpulan Negara Islam (IS). "Ketua sel yang ditangkap di Johor
adalah seorang warga Indonesia berusia 31 tahun dan bekerja sebagai mekanik di
sebuah bengkel lori.
"Seorang
lagi anggota sel yang ditahan adalah lelaki tempatan berusia 59 tahun dan
ditangkap di Kota Bharu, Kelantan," katanya. Tambahnya, suspek yang
bekerja sebagai tukang jahit dan juga anggota RELA dipercayai bertanggung jawab
merekrut anggota sel baru untuk terbabit keganasan di luar negara.
Katanya,
suspek terakhir yang ditahan adalah seorang warga Bangladesh berusia 25 tahun
yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di Selangor dan
merancang menyertai perjuangan IS di Syria.
Pautan: KLIK DISINI