KEMAMAN, 7 Dis (Bernama) --
Seorang lelaki berumur 37 tahun, yang menceroboh sebuah rumah untuk mencuri
sebuah generator mudah alih, maut selepas ditikam pemiliknya dalam kejadian di
Kampung Labohan di sini pagi tadi.
Ketua Polis Terengganu Datuk
Rosli Ab Rahman berkata sebelum kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.50
pagi tadi, isteri pemilik rumah berkenaan mencurigai gelagat dua suspek yang
tiba-tiba menghala ke rumahnya selepas makan di kedai miliknya yang terletak
kira-kira 30 meter dari kediamannya itu.
"Melihat perkara itu, isteri
peniaga berkenaan terus memberitahu suaminya yang ketika itu berada di dapur
kedai sebelum bergegas balik dan menyergah kedua-dua suspek yang ketika itu
cuba mencuri generator miliknya," katanya kepada sidang media di lokasi
kejadian di sini Isnin.
Katanya, namun salah seorang
daripada mereka telah bertindak menyerang pemilik rumah berusia 50 tahun itu
dengan menggunakan batang besi dan terjadinya pergelutan.
"Pemilik kedai makan itu
kemudiannya mencapai parang yang berada berdekatan dengannya bagi
mempertahankan diri dan cuba menikam kedua-dua suspek sebelum tikaman tersebut
mengenai dada salah seorang suspek," katanya.
Berikutan itu, kedua-dua suspek
berkenaan melarikan diri yang mana salah seorang daripada mereka yang cedera
itu rebah di atas pembahagi jalan tidak jauh dari tempat kejadian.
Suspek yang berasal dari Felda
Kerteh 6, Bandar Ketengah Jaya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala
rakannya berjaya melarikan diri.
Justeru pihaknya turut menahan
peniaga itu untuk siasatan lanjut dan gerakan memburu rakan suspek juga giat
dijalankan.
Rosli berkata pemilik kedai
berkenaan ditahan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh,
bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.
"Kita turut merampas parang
yang digunakan untuk siasatan lanjut sama ada tindakannya untuk mempertahankan
diri atau sebaliknya," katanya.- BERNAMA