Selasa, 8 Disember 2015

Pusat karaoke jadi mini kasino

KUALA LUMPUR - Polis menyerbu sebuah mini kasino yang berselindung di sebalik pusat karaoke di Jalan Raja Chulan di sini semalam.
Dalam serbuan Ops Dadu pada pukul 9.10 malam itu, seramai 27 orang terdiri daripada 20 lelaki dan tujuh wanita termasuk dua wanita warga Korea dan seorang wanita warga China ditahan dalam operasi itu.
Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, salah satu bilik di pusat karaoke tersebut disewakan dan digunakan untuk aktiviti perjudian.

“Bilik tersebut berkunci dan hanya pemain tetap sahaja dibenarkan masuk kerana bilik itu mempunyai nombor pin di bahagian pintu masuk.
“Kita turut merampas wang tunai kira-kira RM80,000 dan 733 keping cip yang digunakan untuk tujuan perjudian,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Katanya, seramai 14 orang yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)C Akta Imigresen dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - K! ONLINE
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...